Skip to main content

Doa rumah tangga bahagia

Tujuan utama perkahwinan dalam Islam adalah supaya suami dan isteri dapat melaksanakan kewajipan dan peranan secara adil dan saksama bukannya untuk menyakiti dan menganiayai pasangan. Justeru tanggungjawab untuk berlaku adil dalam melayari bahtera rumah tangga diperingatkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya di dalam al-Quran Surah Al-Nisa' ayat 3 yang bermaksud: "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."

Perkahwinan yang dijalinkan melalui akad nikah yang sah di sisi syarak hadir bersama syarat-syarat yang wajib ditunaikan oleh suami dan isteri. Walaupun ajaran Islam membenarkan perkahwinan melebihi daripada seorang isteri, kebenaran tersebut berasaskan maslahah agar kaum lelaki memelihara diri daripada hubungan yang terlarang dan kebajikan bagi kaum wanita yang dikahwini terjamin dengan penekanan terhadap aspek keadilan dalam sesebuah perkahwinan.

Perkahwinan sebenar yang dibina berlandaskan syariat akan mendidik individu membangunkan sifat kepemimpinan, memupuk kebersamaan dalam menghadapi cabaran, kematangan dalam membuat keputusan, melatih sifat sabar serta saling membantu dalam mencari nafkah untuk keluarga. Sebuah perkahwinan yang diredai oleh Allah SWT merupakan ikatan kekeluargaan yang kukuh dan berkekalan berteraskan kasih sayang dan rahmat Allah SWT.

Seorang Muslim  wajib berlaku adil kepada suami atau isteri dengan melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan masing-masing sama ada keperluan fizikal, mahar, nafkah, pergaulan yang baik, bimbingan agama, nasab keturunan dan lain-lain. Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: "dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya."

Di dalam Surah Al-Nisa' ayat 19 Allah SWT juga berfirman yang bermaksud "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)."

Seorang suami hendaklah menyantuni para isteri dengan penuh kemesraan agar dapat menyuburkan perasaan kasih sayang antara satu sama lain sebagaimana contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan berumah tangga. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku…" (Riwayat Tirmizi)

Kaum wanita pula wajib berlaku adil kepada suami sebagaimana pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW yang bermaksud "Siapakah wanita yang paling baik?" Jawab baginda, "Iaitu yang paling menyenangkan jika dilihat suaminya, mentaati suami jika diperintah dan tidak menyelisihi suami pada diri dan hartanya sehingga membuat suami benci." (Riwayat An-Nasa'i)

Keharmonian rumah tangga dapat dinikmati dalam suasana  sakinah, mawaddah dan rahmah  apabila pasangan suami isteri berlaku adil iaitu saling menunaikan hak dan kewajipan selaras dengan tuntutan agama dan kesepakatan bersama. Dalam hal tersebut, Allah SWT menyifatkan hubungan suami isteri umpama pakaian sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud: "Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka." Pakaian yang baik tidak semestinya ditentukan daripada bahan buatan yang mahal, tetapi kerana faktor individu yang bijak menggayakannya sesuai dengan tempat dan masa. Begitu juga pasangan suami isteri yang perlu meletakkan pasangannya mengikut fungsi dan peranan masing-masing agar keadilan dalam rumah tangga dapat ditegakkan.

Lafaz taklik yang dibacakan oleh seorang suami selepas akad nikah menjadi bukti komitmen dalam sesebuah perkahwinan serta jaminan yang diberikan oleh Islam terhadap kebajikan wanita sebagaimana contoh lafaz taklik di Wilayah Persekutuan iaitu "Bahawa adalah saya mengaku apabila tinggalkan isteri saya (nama) selama empat bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut pada hal atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu."

Oleh itu marilah kita berdoa sebagaimana yang disarankan dalam al-Quran Surah Al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa."

Laksanakanlah urusan pernikahan mengikut ketetapan dan saluran yang betul dengan mematuhi prosedur dan undang-undang yang ditentukan agar maslahah semua pihak terpelihara. Perkahwinan yang dilaksanakan dengan tidak mengikut lunas undang-undang akan menyusahkan banyak pihak dan memberikan kesan buruk kepada individu, keluarga serta masyarakat. Dalam konteks Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan terus komited memastikan undang-undang dan peraturan berkaitan pernikahan umat Islam dapat dipatuhi dengan sebaik-baiknya oleh masyarakat agar lahir keluarga yang sejahtera.

Sumber - Harian Metro

Comments

Popular posts from this blog

TANAH LOT LIDI ?

Assalamualaikum Guys. Hari ini aku nak buka topik pasal tanah Lot Lidi. bukan penyapu lidi nooo 😂. Kenapa isu ni?. SEBAB sekarang harga tanah memang mahal tetapi ada juga tanah yang memang murah. Tanah yang murah itula tanah LOT LIDI. Apa itu tanah Lot Lidi. Lot lidi merupakan tanah yang mempunyai geran  sah namun akan dibahagikan kepada beberapa lot  yang kecil untuk dijual semula kepada pembeli. Biasanya, ia merupakan tanah yang berstatus tanah  pertanian tetapi dijual sebagai lot bangunan kepada pihak pembeli yang lain. Lot lidi juga  tidak  mempunyai sebarang geran individu berasingan dan berbeza dengan geran kongsi pemilikan  bersama. Dengar maksud pun dah seram kan.  Mau x seram, ibarat beli tanah tp xde nama..Rugi woo😌. Terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti sama ada tanah yang dijual ini merupakan tanah lot lidi: Dijual atas nama lot rumah atau lot banglo tetapi status tanah masih pertanian Pembelian bukan mengikut prosedur jual beli me...

yeyeyeyeyeye hari ni gaji $$$

assalamualaikum korang...kekeke..ap cer..sori sangat u alls x update blog...bersawang blog den ni..kekekeke ( gelak jahat ).. maklumlah bz benor teman..balik umah terus zzz...huk huk.. ok anyway apa plan korang cuti hujung minggu ni.. bagi yang kerja gov memang best le sebab.....                                                                    $$$$gaji dah kuar wei$$$ awal kan tiba2 bank kita mengandung ...upenye dah gaji...sebab apa gaji gov bulan ni awal..sebab nye    nak angpau..huk..huk so boleh la support yang mana hendak balik kampung..tapi mesti kena jimat sebab bulan depan... glrpppp ..lama siut nak menunggu..huhuhuhu..so memang kena spare du...

kembali semula.....hilang lama weiiii....muahhhh

Assalamualaikum korang....perh...giler lama ak senyap...kekeke...5 bulan oooooooo....sebelum 2 aku nak cakap something... hehehe....korang rindu aku x..mesti korang rindu kan..hehe..sebenarnye dalam beberapa bulan ni aku bz gilerr...dengan kerja..dengan outstation...dengan raya..dengan ehem3. ..ops...tbatuk sat.. :p ... apapun ak nak say thanks sbb masih ada yg sudi usah2 blog aku ni...ni baru aku habis buang sawang..aduhhh spider boleh beranak kot....mcm mn raya korang..best x...up sikit... :) .. ok...mlm ni den update cer terbaru... nantikan............... ps-> adasimpankuihrayauntukakux. ... "TERIMA KASIH KUNJUNG BLOG KITA YG SAKAI NI"