Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberikan respons pertama sejurus selepas parti berkenaan memecat beliau pada Jumaat. Menerusi ciapan di Twitternya, bekas Ahli Parlimen Rembau menyatakan beliau tidak kecewa atau tunduk dengan pemecatannya sebagai ahli UMNO. “Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan. “Unbowed, unbent, unbroken,” katanya pada Sabtu. Selain Khairy, turut dipecat ialah bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang mempertikaikan penggantungan beliau dan meminta agar Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memecat beliau daripada parti. UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.